KUCHING: Kebijaksanaan insan perlu sentiasa mengatasi kecerdasan buatan (AI) ketika dunia semakin bergantung kepada teknologi digital, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Abdullah Saidol.
Beliau berkata, literasi dan kecekapan digital penting bagi membantu masyarakat menilai kesahihan maklumat serta menangani penyebaran berita palsu dan kandungan berunsur provokasi.
Menurutnya, kemajuan teknologi perlu diseimbangkan dengan pertimbangan, nilai kemanusiaan dan nurani, khususnya dalam masyarakat majmuk seperti Sarawak dan Malaysia bagi memelihara perpaduan serta kestabilan.
“Kebijaksanaan ini mesti sentiasa mengatasi kecerdasan buatan dan ia lahir daripada nurani kita sendiri.
“Kadang-kadang lidah dan tangan kita bertindak lebih pantas daripada akal fikiran, sepatutnya akal yang mendahului kata-kata,” katanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Media dan Komunikasi 2026 (i-COME’26) di Muzium Borneo, di sini, hari ini.
Turut hadir, Naib Canselor, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Ahmad Martadha Mohamed dan Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan.
Pada masa sama, Abdullah turut mengingatkan media supaya menjadi benteng keharmonian dengan mengutamakan etika kewartawanan dan kepercayaan awam berbanding kandungan berbentuk clickbait, selain menekankan kepentingan komunikasi awam yang telus dalam pelaksanaan dasar pembangunan.
Dalam usaha transformasi digital menerusi PCDS 2030,katanya, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) berperanan merapatkan jurang kefahaman antara kerajaan dan rakyat.
Manakala Sarawak pula tegasnya, telah membelanjakan hampir RM2 bilion untuk memperkukuhkan infrastruktur digital termasuk pembinaan hampir 2,000 menara telekomunikasi.
Sarawak turut membangunkan CENTEXS, Perkampungan Digital TEGAS dan Pusat Kecerdasan Buatan Sarawak (SAIC), ujarnya.
Tegasnya, Sarawak juga mula menguji serta mengaplikasikan prototaip AI tempatan dalam bidang kesihatan, pengesanan penyakit di pedalaman, pemuliharaan alam sekitar dan penyelidikan biodiversiti.
i-COME’26 menghimpunkan ahli akademik, pemain industri, penjawat awam, pakar strategi dan pengamal media serta penyelidik muda bagi membincangkan cabaran dan peluang komunikasi dalam era digital.
Sebanyak 73 kertas kerja dibentangkan persidangan tiga hari itu, dengan 48 daripadanya memberi fokus kepada komunikasi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Persidangan itu menghimpunkan kira-kira 100 peserta daripada pelbagai latar belakang akademik dan industri, termasuk peserta antarabangsa dari Pakistan, Indonesia, China dan Jepun.
Sebanyak 11 tema utama diketengahkan merangkumi Isu Sosial Siber dan Kecerdasan Buatan, Komunikasi Organisasi, Komunikasi dan Pendidikan, Komunikasi Alam Sekitar, Komunikasi Antara Budaya, Komunikasi untuk Perubahan Sosial, Pengiklanan dan Pemasaran, Komunikasi Antarabangsa, Media dan Kewartawanan, Komunikasi Politik serta Multimedia.
,
