KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-13 (PRN13), termasuk memberi peluang kepada kepimpinan baharu jika mendapat kepercayaan parti.
Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni berkata, keputusan mengenai calon dan pembahagian kerusi akan ditentukan kepimpinan tertinggi Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Pemuda Parti PBB menghormati proses berkenaan dan tidak akan mendahului sebarang pengumuman rasmi, sebaliknya bersedia memperkukuh jentera bagi menghadapi pilihan raya.
“Kita juga menyokong calon daripada parti komponen GPS serta akan menggerakkan sokongan di peringkat akar umbi bagi memastikan kemenangan gabungan,” katanya juga Timbalan Ketua Pemuda Parti PBB.
Pada PRN12, Parti PBB memenangi kesemua 47 kerusi yang ditandingi, manakala Pemuda sebelum ini berjaya membawa muka baharu ke dalam kepimpinan negeri dan Parlimen.
Lukanisman berkata, PRN13 juga menjadi ruang penting untuk membawa aspirasi generasi muda, khususnya berkaitan peluang pekerjaan, pendidikan, daya saing ekonomi serta pembangunan seimbang antara bandar dan luar bandar.
“Kepercayaan rakyat perlu dipelihara melalui prestasi, integriti dan pelaksanaan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
