TEGAS manfaatkan 361,000 pelajar menerusi program praktikal

KUCHING: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) memberi manfaat kepada 361,000 pelajar menerusi program praktikal sejak penubuhannya pada 2012.

Timbalan Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Sarawak merangkap Pengerusi TEGAS, Datuk Len Talif Salleh berkata, TEGAS memberi tumpuan kepada pendidikan STEM, Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta keusahawanan digital bagi menyediakan belia menghadapi cabaran ekonomi digital.

“TEGAS terus berusaha memastikan anak-anak Sarawak bersedia mendepani cabaran ekonomi digital menerusi pelbagai program pendidikan dan pembangunan kemahiran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Media Bersama TEGAS.

Beliau berkata, Pameran Kerjaya dan Latihan Sarawak (SCaTFair) edisi ke-12 tahun ini menarik 35,000 pengunjung dengan menawarkan 2,000 kekosongan jawatan.

“Program TEGAS, Festival Pembuat Borneo: Kecerdasan Buatan untuk Pereka Cipta yang dianjurkan bersama Pusat Kecerdasan Buatan Sarawak pada 23 Ogos lalu turut menarik lebih 5,000 pengunjung ke TEGAS Digital Village,” tambahnya.

Menurutnya, TEGAS turut membantu usahawan muda menerusi program Sarawak Shell LiveWire yang menawarkan dana sehingga RM15,000 di peringkat negeri dan RM50,000 di peringkat kebangsaan.

Menjelang 2027, TEGAS merancang memperkenalkan inisiatif pertanian pintar berasaskan Internet Benda (IoT), Cabaran CubeSet Rocketeer Sarawak dan pembangunan TEGAS Lodge Sarawak bagi menarik kehadiran nomad digital.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) merangkap Setiausaha TEGAS, Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Timbalan Pengerusi TEGAS, Datuk Dr. Jerip Susil, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan yang juga Bendahari TEGAS, Datuk Snowdan Lawan serta Ahli-Ahli Lembaga TEGAS lain, Datuk Ding Kuong Hiing,
Dayang Noorazah Awang Sohor, Abdul Yakub Arbi dan Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS, Udin Bujang.