TEGAS Digital Village dedah pelajar kepada inovasi, teknologi

KUCHING: TEGAS Digital Village menerima kunjungan pelajar dan guru dari Singapura serta Sarawak menerusi aktiviti inovasi, keusahawanan dan penerokaan teknologi.

Timbalan Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Sarawak merangkap Pengerusi TEGAS, Datuk Len Talif Salleh berkata, lawatan itu memberi peluang kepada pelajar meneroka kreativiti dan inovasi melalui aktiviti interaktif.

“Bengkel kitar semula kreatif bersama Stinablis Sdn. Bhd dan aktiviti interaktif NEXTGEN Sarawak membantu pelajar mengasah kreativiti, semangat kerjasama serta kemahiran menyelesaikan masalah,” katanya dalam laman sesawang Facebook, di sini, hari ini.

Program itu melibatkan pelajar dan guru dari Hua Yi Secondary School, Singapura, yang berkunjung ke TEGAS Digital Village hari ini.

“Melalui aktiviti ini, pelajar dapat meneroka bagaimana idea inovatif boleh menghasilkan nilai menerusi pendekatan kreatif dan pengalaman praktikal,” tambahnya.

Terdahulu, TEGAS Digital Village turut menerima kunjungan 78 guru dan murid dari SK Mejar Jeneral Dato Ibrahim menerusi lawatan penjelajahan STEM dan inovasi digital.

Aktiviti secara amali itu mendedahkan pelajar kepada aplikasi teknologi terkini bagi memupuk pemikiran kreatif serta kemahiran menyelesaikan masalah.