KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengesahkan akan bertanding di kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13.
Premier Sarawak yang juga Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat GPS yang dihadiri semua presiden parti komponen gabungan berkenaan di Ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, hari ini.
Mesyuarat tersebut jelasnya, turut mengesahkan kesiapsiagaan GPS untuk menghadapi pilihan raya tahun ini, meskipun tarikh pengundian masih belum ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Satu perkara yang boleh saya umumkan ialah GPS akan bertanding di semua 82 kerusi. Itu adalah keputusan kita,” katanya.
Mengenai pengagihan kerusi antara parti komponen, jelasnya, pembahagian secara asasnya akan mengambil kira kerusi yang dimenangi calon masing-masing pada pilihan raya lalu.
Bagaimanapun, katanya perbincangan lanjut akan diadakan bagi memperincikan pembahagian kerusi tersebut dalam kalangan komponen GPS.
Abang Johari berkata, GPS juga akan menunggu pengumuman rasmi SPR berhubung tarikh pilihan raya sebelum menentukan langkah seterusnya.
“Senarai pengumuman calon GPS akan dibuat pada hari penamaan calon,” jelasnya.
Mengenai penyandang yang akan mengundur diri, beliau megesahkan ada dalam kalangan calon Parti PBB akan berundur.
Namun katanya, jumlah belum didedahkan.
Turut hadir, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian dan ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) GPS.
