PULAU BRUIT: Impian penduduk Pulau Bruit menikmati kemudahan jambatan sebagai penghubung ke kawasan lain akhirnya menjadi kenyataan apabila Jambatan Batang Paloh dibuka kepada orang ramai hari ini.
Pembukaan itu sekali gus menandakan bermulanya era baharu perhubungan darat di kawasan itu.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pembukaan jambatan itu merupakan detik bersejarah bagi penduduk Kampung Bruit dan seluruh Pulau Bruit yang sebelum ini banyak bergantung kepada perkhidmatan feri untuk perjalanan harian.
Katanya, kewujudan dua jambatan yang menghubungkan kawasan berkenaan merupakan sesuatu yang mungkin sukar dibayangkan penduduk sebelum ini.
Namun kini menjadi realiti hasil komitmen Kerajaan Sarawak dalam membangunkan infrastruktur negeri, katanya.
“Ini merupakan hari bersejarah bagi penduduk Kampung Bruit dan seluruh Pulau Bruit kerana mungkin sebelum ini mereka tidak pernah membayangkan kawasan ini akan dihubungkan dengan dua jambatan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Prapelancaran Jambatan Batang Paloh, hari ini.
Beliau berkata, perubahan pembangunan di kawasan itu amat ketara berbanding ketika beliau mengunjunginya pada tahun 2000, apabila perjalanan ke Pulau Bruit masih berdepan pelbagai kesukaran.
Projek bernilai RM298.98 juta ini turut merangkumi pembinaan jalan akses sepanjang 1.71 kilometer (km) di sebelah Pulau Bruit dan 2.932 km di sebelah Tanjung Manis.
Ia merupakan jambatan ke-13 siap daripada keseluruhan 22 jambatan utama yang sedang dibangunkan Kerajaan Sarawak membabitkan peruntukan kira-kira RM7 bilion.
Jambatan itu merupakan sebahagian daripada rangkaian Jalan Pesisir Sarawak di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Uggah berkata, sebuah lagi projek iaitu Jambatan Batang Lupar II di Sri Aman dijadual dibuka kepada umum esok, manakala pembangunan infrastruktur negeri turut merangkumi Jalan Pesisir sepanjang kira-kira 890 km, penaiktarafan jalan utama dan pembinaan Jalan Pesisir Kedua.
Menurutnya, pelaksanaan projek berkenaan mencerminkan usaha Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Kerajaan GPS dalam mentransformasikan infrastruktur bagi meningkatkan hubungan antara kawasan serta membuka lebih banyak peluang pembangunan kepada rakyat.
Dalam pada itu, Uggah berkata, perkhidmatan Feri Batang Paloh yang menamatkan operasi seiring pembukaan jambatan itu akan menjadi sebahagian daripada sejarah pembangunan kawasan berkenaan selepas sekian lama menjadi penghubung utama penduduk.
“Perkhidmatan feri berkenaan akan dipindahkan ke Kedang, JKR melaksanakan kerja-kerja berkaitan bagi membolehkan kemudahan itu beroperasi di lokasi baharu,” ujarnya lagi.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur) Datuk Ir. Aidel Lariwoo, Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, Ahli Parlimen Tanjung Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, Pengarah JKR Sarawak, Datu Dr Cassidy Morris serta yang lain.
