Penduduk Pulau Bruit, Matu, Daro lega Jambatan Batang Paloh dibuka

TANJUNG MANIS: Pembukaan Jambatan Batang Paloh disambut penuh kegembiraan oleh penduduk kerana bakal menamatkan kebergantungan kepada perkhidmatan feri serta memudahkan pergerakan penduduk, khususnya dari kawasan Pulau Bruit, Matu dan Daro.

Bagi Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Rentap, Azeman Akel berkata, kemudahan baharu itu menandakan satu pencapaian penting dalam pembangunan infrastruktur yang mampu meningkatkan kesejahteraan masyarakat, selain memberikan manfaat besar kepada sektor pendidikan.

“Kewujudan jambatan bakal mempercepat perjalanan murid dan guru, di samping memudahkan urusan mendapatkan perkhidmatan kesihatan, menjalankan kegiatan ekonomi serta memperkukuh hubungan antara penduduk,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Iftitah Restaurant & Resort, Belawai, Ibnee Ekni berkata, pembukaan jambatan itu sememangnya dinantikan sekian lama kerana menyediakan laluan lebih mudah bagi penduduk Pulau Bruit menuju ke Sibu, Sarikei, Kuching dan destinasi lain di Sarawak.

“Kemudahan ini juga membolehkan lebih ramai pengunjung dari Pulau Bruit, Matu dan Daro berkunjung ke Belawai untuk menikmati produk pelancongan serta perkhidmatan yang ditawarkan pengusaha tempatan,” katanya.

Ketua Kaum Kampung Badong, Haslimi Hassan pula merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) atas kejayaan merealisasikan kemudahan yang dinantikan masyarakat sejak sekian lama itu.

“Pembukaan jambatan ini sekali gus menandakan permulaan fasa baharu dengan harapan ia akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi, perkembangan pelancongan dan peningkatan kualiti hidup kami di kawasan pesisir,” katanya.