Sanggup terbang tujuh jam ke Sarawak, usahawan minat melabur

KUCHING: Pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) oleh Kerajaan Sarawak berjaya menarik perhatian seorang usahawan antarabangsa yang menyatakan hasrat untuk mengembangkan perniagaannya di negeri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usahawan berkenaan menunjukkan minat terhadap dasar pendidikan percuma yang dilaksanakan Sarawak bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Menurutnya, usahawan tersebut sanggup melakukan perjalanan udara selama tujuh jam untuk bertemu dengannya bagi membincangkan potensi pengembangan perniagaan di Sarawak.

Katanya, dalam pertemuan tersebut, mereka turut membincangkan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta kepentingan modal insan dalam menyokong ekonomi baharu.

“Beliau memberitahu saya bahawa bekalan elektrik hanyalah salah satu faktor.

“Tetapi perkara yang benar-benar menarik perhatiannya ialah dasar pendidikan percuma yang dilaksanakan di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Pendidikan Sarawak 2026 dan Majlis Anugerah Khas Yayasan Sarawak Kali Ke-33, di Pusat Acara Hikmah Exchange, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, dasar FTES bukan sahaja membantu anak Sarawak melanjutkan pengajian tinggi tanpa dibebani yuran pengajian, malah menjadi antara faktor yang menarik perhatian pelabur terhadap potensi tenaga kerja negeri ini.

Jelasnya, menerusi FTES yang dilaksanakan mulai 2026, sebanyak 64 program pengajian ijazah sarjana muda ditawarkan secara percuma kepada pelajar Sarawak yang layak di empat institusi pengajian tinggi (IPT) milik Kerajaan Sarawak.

Jelasnya, program pengajian yang ditawarkan turut memberi tumpuan kepada bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi memenuhi keperluan industri masa depan.

Beliau menegaskan, pembangunan modal insan berkualiti amat penting bagi memastikan Sarawak mampu memanfaatkan sumber semula jadi melalui penguasaan teknologi dan penghasilan produk bernilai tambah.

Sehubungan itu, Kerajaan Sarawak ujarnya, akan terus memberi keutamaan kepada pembangunan pendidikan bagi melahirkan generasi berkemahiran tinggi serta meningkatkan daya saing negeri dalam menarik pelaburan antarabangsa.

“Masa depan kita bergantung pada kualiti anak-anak kita,” katanya.