KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menegaskan tidak akan menjalin kerjasama politik dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau mana-mana parti di luar gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13.
Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pendirian itu dibuat susulan cadangan kerjasama daripada PKR yang dianggap sudah terlambat.
Tegasnya, ini memandangkan GPS kekal dengan keputusan untuk bertanding secara bersendirian bagi merebut kesemua 82 kerusi DUN Sarawak.
“Meskipun GPS dan PKR merupakan rakan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, situasi politik di Sarawak adalah berbeza.
“GPS menganggap semua parti di luar gabungan itu sebagai pembangkang, termasuk PKR, Parti Tindakan Demokratik (DAP), PAS, Bersatu dan Amanah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Festival Masyarakat Peribumi Borneo (BIF)2026 di Baitulmal II, di sini, hari ini.
Beliau menegaskan, GPS yang dianggotai empat parti komponen iaitu Parti PBB, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) mempunyai kekuatan tersendiri dengan mengutamakan kepentingan serta kesejahteraan rakyat Sarawak.
Jelasnya, kelebihan parti tempatan adalah keupayaan membuat keputusan berkaitan kepentingan Sarawak tanpa perlu merujuk kepada kepimpinan parti yang berpusat di Kuala Lumpur.
Sehubungan itu, beliau menegaskan GPS akan kekal dengan pendiriannya dan bersedia menghadapi mana-mana parti yang mahu bertanding pada pilihan raya nanti.
“Kalau mahu, kita bertanding dalam pilihan raya.
“Biar rakyat Sarawak yang menentukan,” tegasnya. -NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI
