Parti PBB Cawangan Layar beri sokongan padu pada Gerald Jabu

BETONG: Datuk Gerald Rentap Jabu mendapat sokongan padu daripada akar umbi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Layar untuk diketengahkan semula sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layar pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13.

Sokongan itu dizahirkan secara sebulat suara semasa Mesyuarat Bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) Parti PBB Cawangan dan 20 ranting Cawangan Layar di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, hari ini.

Mesyuarat berkenaan menghimpunkan kepimpinan cawangan serta empat sayap parti, iaitu Badan Induk, Wanita, Pemuda dan Belia 1828.

Fokus utama pertemuan itu memperkukuh perpaduan dalaman, menyelaras gerak kerja serta memantapkan kesiapsiagaan jentera parti menjelang PRN13.

Hasil perbincangan, kesemua empat pergerakan parti menyatakan pendirian yang sama untuk memberi peluang kepada Gerald terus mewakili GPS di kerusi DUN Layar.

Kesepakatan itu memperlihat keyakinan kepimpinan cawangan dan akar umbi terhadap kesinambungan kepimpinan serta agenda pembangunan yang telah dibawa di kawasan berkenaan.

Dalam ucapannya, Gerald mengingatkan ahli parti supaya mendidik anak-anak dan golongan muda di rumah panjang, khususnya pengundi baharu yang layak mengundi tahun ini.

Beliau menegaskan golongan muda perlu diberikan kefahaman agar membuat pilihan bijak dalam menentukan masa depan kepimpinan kawasan mereka.

Gerald turut mengetengahkan rekod perkhidmatannya sepanjang dua penggal sebagai wakil rakyat DUN Layar, termasuk pelbagai usaha pembangunan yang telah dibawa dan dirancang untuk masyarakat.

Turut menyampaikan ucapan dan menyatakan sokongan ialah Timbalan Ketua Cawangan PBB Layar, Abang Ullie Abang Pay; Ketua Wanita, Umang Nangku Jabu; Ketua Pemuda, Mitchel Glendon serta Setiausaha Cawangan, James Agat.