Perbezaan kaum, agama bukan penghalang perpaduan Sarawak

MIRI: Kepelbagaian kaum, agama dan budaya bukan penghalang kepada perpaduan, sebaliknya menjadi kekuatan rakyat Sarawak hidup dalam harmoni dan saling menerima.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sikap keterbukaan dan saling menghormati yang diamalkan masyarakat negeri ini merupakan identiti penting yang perlu dipertahan.

Katanya, rakyat Sarawak tidak seharusnya melihat perbezaan latar belakang sebagai pemisah, sebaliknya menganggap setiap kaum sebagai sebahagian daripada sebuah keluarga besar masyarakat negeri ini.

“Di Sarawak, kita bekerjasama dan saling menerima antara satu sama lain. Kita tidak membezakan kaum atau latar belakang kerana kita semua adalah sebahagian daripada masyarakat Sarawak,” katanya semasa merasmikan Pusat Kebudayaan Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM) di Jalan Padang Kerbau, hari ini.

Abang Johari berkata, semangat perpaduan itu perlu melangkaui masyarakat Orang Ulu dan diperkukuh dalam kalangan komuniti bagi memastikan tiada pihak berasa terpinggir.

“Beginilah cara kita hidup di Sarawak. Kita perlu melindungi dan mempertahankan keharmonian ini,” ujarnya.