KUCHING: Komitmen pengundi menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13 amat penting bagi menentukan hala tuju serta masa depan negeri ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, usaha yang diberikan oleh jentera parti serta rakyat diharap membuahkan hasil pada 12 Disember depan.
“In sha Allah, pada 12 Disember depan kita hendak mendengar hasil daripada segala komitmen dan usaha yang telah diberikan oleh kita semua,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Armada Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Dewan Kampung Matang Batu 10, di sini hari ini.
Pelancaran dilakukan Premier Sarawak merangkap Yang di-Pertua Parti PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Fadillah sehubungan itu yakin jentera parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) di semua peringkat mempunyai kekuatan, semangat perjuangan dan kesungguhan bagi memastikan matlamat gabungan itu tercapai.
“Beduk sudah berbunyi, maksudnya lepas tu kita kena berjuang. Pastikan 12 Disember depan ialah orang turun beramai-ramai mengundi, mengundi GPS, boleh?
”Matlamat kita itu untuk menggerakkan jentera kita dan kita pastikan GPS menang besar di seluruh kawasan Sarawak,” katanya.
Menurutnya, matlamat utama parti ketika ini adalah memastikan jentera di semua peringkat bergerak secara tersusun dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerana meluangkan masa menyertai program berkenaan.
“Kehadiran Premier bukan sahaja untuk bersama-sama menggerakkan Jentera Pemuda, malah turut menyertai konvoi motosikal bersama anggota parti,” ujarnya.
Katanya, penyertaan pemimpin dalam aktiviti lapangan seperti itu memperlihatkan pendekatan kepimpinan yang turun padang dan mendekati jentera parti.
Fadillah berharap segala usaha dan perjuangan anggota GPS mendapat kejayaan demi kepentingan serta masa depan Sarawak.
