Sungai Gaat projek rintis empangan melatar

KUCHING: Kerajaan Sarawak bersama Sarawak Energy sedang mengkaji dan mengenal pasti 11 lembangan sungai yang berpotensi untuk pembangunan sumber tenaga melatar.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Abdul Rahman Junaidi berkata, sebagai permulaan, Sungai Gaat, Kapit telah dipilih sebagai projek rintis untuk mengkaji kemampanan pelaksanaan empangan melatar.

Projek itu hanya akan dilaksanakan sekiranya mendapat persetujuan penduduk setempat, katanya dalam soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau berkata, 11 lembangan sungai yang dikenal pasti itu ialah Sungai Tutoh (Baram), Sungai Gaat, Sungai Belaga, Sungai Danum, Sungai Balui dan Sungai Tekalit (Kapit), Sungai Trusan, Sungai Lawas, Sungai Limbang (Limbang) dan Sungai Tinjar dan Sungai Baram (Miri).

“Kementerian saya juga telah menerima beberapa cadangan daripada Ahli-ahli Yang Berhormat secara lisan untuk dilaksanakan projek sumber tenaga melatar di lembangan sungai kawasan-masing,” tegas beliau.

Mengenai projek bekalan air alternatif Sarawak (SAWAS) dan skim pembekalan elektrik alternatif luar bandar Sarawak (SARES), beliau berkata, ia masih diteruskan dan pelaksanaannya adalah secara berperingkat tertakluk kepada ketersediaan peruntukan.

Azizul Annuar Adenan (GPS-Tanjung Datu) , dalam soalannya bertanya, setakat ini berapakan jumlah permohonan untuk projek empangan melatar yang telah diterima dan adakah projek SAWAS dan SARES masih diteruskan.