Insentif untuk atlet Sarawak menang pingat emas SUKMA XXI – Abang Johari

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menimbang memberi insentif kepada atlet Sarawak yang mendapat pingat emas dalam acara Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak pada Ogos depan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini kerana Sarawak mempunyai program pemberian insentif kepada atlet yang menang pingat di temasya sukan.

“Memang kita ada program insentif kita, atlet kita di acara (temasya sukan) lain pun kalau menang kita beri insentif,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Our Star Our Pride Countdown 100 Menjelang SUKMA XXI Sarawak 2024 di sini, hari ini.

Abang Johari sehubungan itu menyerahkan pertimbangan mengenai insentif terbabit termasuk jumlahnya kepada Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Manakala mengenai peruntukan khas Kerajaan Sarawak bagi menyediakan insentif itu, beliau berkata perkara itu berdasarkan prestasi atlet Sarawak pada SUKMA XXI.

“Kita lihat prestasi mereka dahulu, kalau beri peruntukan khas, kalau tidak menang tidak ada ertinya, jadi menang dahulu,” tambahnya.