SIBU: Kakitangan dan pelajar Universiti Teknologi Sarawak (UTS) digalak memberikan sumbangan komuniti dalam usaha meringankan beban golongan sasar.
Menurut Naib Canselor UTS, Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid, ia penting untuk memberi bakti kepada komuniti terutamanya mereka yang memerlukan seperti penghuni rumah anak yatim dan rumah jagaan warga emas.
“Kita tidak boleh melupakan mereka yang kurang bernasib baik. Kita harus menerapkan nilai teras ini dalam pelajar kita,” katanya semasa berucap pada Sambutan Festival UTS yang diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud UTS, hari ini.
Dr Khairuddin berkata, penganjuran festival tersebut jelas menunjukkan rakyat negeri ini yang terdiri daripada berbilang kaum, bangsa dan agama berjaya mengekalkan perpaduan.
Penganjuran festival tersebut adalah bertepatan dengan empat perayaan iaitu Tahun Baru Cina, Hari Raya, Hari Gawai dan Raya Korban.
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Akademi),
Profesor Dr. Mohammad Shahril Osman.
