Cadangan PETRONAS bina kampus UTP Bintulu dikaji

BINTULU: Kerajaan Sarawak mencadangkan syarikat PETRONAS membina kampus Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ada lagi tanah kosong milik Kerajaan Sarawak di belakang Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bintulu bagi Petronas membina UTP.

“Ia terpulang kepada pengurusan PETRONAS sama ada mereka hendak membangunkan kampus di sini, kita alu-alukan,” katanya selepas menghadiri majlis perasmian MRSM Bintulu dibina oleh PETRONAS, di sini, hari ini.

Kampus MRSM Bintulu melibatkan kos pembinaan RM122 juta, bakal beroperasi pada Mac 2024.

Sementara itu Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Bakke Salleh berkata, pihaknya perlu mengambil kira pelbagai faktor sebelum membuat sebarang keputusan mengenai cadangan tersebut.

“Bagi PETRONAS kami perlu kaji dan ambil kira faktor tertentu sebelum menubuhkan kampus UTP di Sarawak. Cadangan ini baik tetapi ada juga implikasi yang kami perlu ambil kira,” katanya.