KUCHING: Kementerian Komunikasi kini di peringkat akhir merealisasikan penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM).
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, majlis terbabit berperanan sebagai badan kawal selia kendiri bagi menjaga kepentingan media dan pengamalnya.
“Kerajaan kini dalam proses menyediakan Analisis Impak Draf Rang Undang-undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMC) kepada industri media,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 di sini, hari ini.
Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim merasmikan majlis kemuncak tersebut yang turut dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Fahmi berkata, proses menyediakan analisis terbabit kepada industri media sebelum dibentangkan di Parlimen yang dijangka pada Oktober tahun ini.
Disamping itu, beliau juga mendedahkan Setakat hari ini, jumlah keseluruhan pengamal media yang merupakan pemegang kad perakuan media Jabatan Penerangan Malaysia adalah seramai 11,235 orang.
“Daripada jumlah itu, 11,055 merupakan warganegara, manakala selebihnya pengamal media asing yang berpangkalan di Malaysia,” katanya.
Menurutnya berdasarkan data Jabatan Penerangan, seramai 565 pengamal media yang berdaftar adalah bertaraf sambilan atau stringers.
“Bermula 1 Julai 2024, Kementerian Komunikasi melalui BERNAMA akan menampung caruman PERKESO untuk kesemua pengamal media dalam kategori tersebut bagi tempoh satu tahun,” tambahnya.
Selain itu, katanya pemberian rebat bil telefon pelan pascabayar yang dinamakan Insentif Rebat RAHMAH Pengamal Media akan dilaksanakan untuk tahun kedua pada bulan kebangsaan nanti.
Kira- kira 1,000 pengamal media tempatan dan luar menghadiri acara kemuncak.
