Jangan ungkit 3R

KUCHING: Menyebar maklumat harus mengandungi nilai-nilai kemanusiaan, melindungi kumpulan minoriti dan ilmu pengetahuan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, jika pengamal media menyebarkan maklumat berasaskan ketiga-tiga prinsip itu, Malaysia akan dapat diangkat menghadapi cabaran menggunakan kecerdasan bantuan (AI).

Justeru, anak-anak muda harus dilatih memasukkan data dalam AI untuk digunakan oleh semua masyarakat, katanya berucap pada majlis Kemuncakan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 di sini hari ini.

Beliau menggesa pengamal media malah media sosial supaya jangan mengungkitkan 3R (racial, religion, royal) kerana ia boleh memecahbelah dan merosakkan keharmonian hidup masyarakat.

Hakikatnya, katanya, kerajaan memberi kebebasan kepada media tetapi kebebasan itu ada batasannya untuk melindungi keharmonian hidup masyarakat, melindungi kepentingan minoriti dan agama.

Menurut Anwar, kalua tidak ada kebebasan tidak akan wujud karya agung dan kumpulan pemikir yang mendedahkan hasil penilaian mereka.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang turut berucap pada majlis itu berkata, kaedah yang digunakan oleh pengamal media sekarang hendaklah menggunakan teknologi terkini untuk menyebarkan maklumat yang berfakta dan menangkis berita palsu.

Pada majlis itu Anwar mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk Tabung Kasih tahun ini dan RM1 juta untuk Pusat Latihan Bernama bagi melatih pengamal media menggunakan AI.

Beliau kemudian menyampaikan anugerah khas kepada beberapa pengamal media di negeri ini yang banyak menyumbang kepada pembangunan dan keharmonian masyarakat masyarakat berbilang kaum Sarawak.

Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak, Kadir Dikoh antara penerima Anugerah Khas Premier Sarawak pada acara kemuncak sambutan Hawana.

Enam lagi penerima itu ialah bekas Ketua Pemberita dan Editor Tugasan RTM Sarawak, Alice Wee Siok Lian; bekas Pengurus Besar Chinese Daily News, Johnny Loh Kee Kong; Editor Bersekutu New Sarawak Tribune, M Rajah; wartawan Kanan Malay Mail, Sulok Tawie; bekas Editor Eksekutif Utusan Sarawak, William Chan dan juru gambar akhbar The Star, Zulazhar Sheblee.

Sarawak menjadi tuan rumah HAWANA 2024 yang mulai diadakan pada 25 Mei lalu. Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2024 yang disertai oleh wartawan dari beberapa negara luar dan dari Semenanjung Malaysia serta pameran adalah antara program yang diadakan sempena HAWANA 2024 di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *