Perayaan Gawai Dayak platform satupadukan rakyat

SIBU: Perayaan Hari Gawai menjadi platform penyatuan rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan ideologi politik dalam mengukuhkan perpaduan.

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ini jelas terbukti apabila rakyat majmuk dan ahli politik dilihat duduk semeja, tanpa mengira perbezaan politik mereka.

“Walaupun kita (ahli politik) mungkin berbeza pendapat dalam politik terutama semasa pilihan raya, tetapi semasa majlis malam ini kita berkumpul dan duduk semeja.

“Kita sentiasa bersama mempamerkan sesuatu yang indah di negeri kita,” katanya semasa berucap pada Malam Mantar Gawai Dayak Sibu 2024, malam tadi.

Ahli Parlimen Kapit itu menegaskan, perpaduan yang kukuh rakyat berbilang kaum, bangsa dan agama di Sarawak harus dipelihara.

“Bukan sahaja semasa Gawai, malah Tahun Baharu Cina, Hari Raya dan Deepavali, kita sama-sama meraikannya. Ini adalah sesuatu yang kita perlu teruskan,” katanya.

Turut hadir Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau, Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Seri Wong Soon Koh, ADUN Bukit Assek, Joseph Chieng, ADUN Ketibas, Lidam Assan, ADUN Pelagus, Wilson Nyabong Ijang, Senator Robert Lau, Setiausaha Politik Premier Sarawak, Joshua Ting dan Romeo Christoper Tegong.