Sarawak sokong profesional media, pupuk inovasi dan literasi

KUCHING: Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2024 mampu mengetengahkan isu dan cabaran dihadapi pengamal media dalam kepesatan teknologi media baharu masa kini.

Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, kemunculan media baharu bukan hanya membawa faedah dan peluang, sebaliknya juga beberapa isu dan cabaran yang perlu ditangani. 

“Disebabkan itu, Kerajaan Sarawak komited untuk menyokong profesional media, memupuk inovasi dan mempromosikan literasi media bagi memastikan landskap media di Sarawak kekal dinamik, inklusif dan beretika,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena SMeC 2024 di sini malam tadi.

Hadir sama, Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi termasuk Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

Pada masa sama katanya, antara isu dan cabaran adalah privasi dan keselamatan, kesahihan maklumat dan berita palsu, ketagihan dan penggunaan berlebihan, polarisasi dan ruang gema, jurang pendapatan, jurang digital dan sebagainya.

Turut hadir, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, barisan Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak dan Persekutuan serta yang lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *