Utamakan kepentingan Sarawak – Fazzrudin

KUCHING: Rakyat Sarawak diminta mengenepikan kepentingan diri dan berusaha ke arah matlamat bersama untuk menegakkan kepentingan Sarawak bagi memastikan perpaduan dapat dipelihara.

Gesaan itu disuarakan oleh Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman sambil berkata perpaduan memerlukan pengorbanan yang dilakukan masyarakat.

Tegasnya, akan ada unsur atau kuasa negatif yang cuba menyemai perpecahan sesama masyarakat ketika perpaduan mula kukuh.

“Kita mesti berkorban untuk memelihara perpaduan kita,” katanya ketika berucap merasmikan perhimpunan masyarakat Hari Bertemu Temuey anjuran KRT Sinjan-Tanjong di Dewan Sri Tanjong di Kuching hari ini.

Fazzrudin turut menggesa masyarakat di Kampung Tanjong dan Kampung Sinjan supaya terus bersatu dan memelihara hubungan kejiranan.

Tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong itu, masyarakat tidak boleh maju apabila tiada perpaduan.