KUCHING: Kepesatan teknologi dan kemajuan peranti digunakan dalam penghasilan berita mewujudkan cabaran baharu dalam industri media hari ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, media hari ini perlu ada tatacara baharu dalam mengendalikan dan mengurus informasi yang disampaikan kepada masyarakat.
“Saya syorkan supaya ada etika yang harus dilakukan dan dicadangkan oleh wartawan dengan mempunyai tanggungjawab kepada kemakmuran rakyat bukan saja negara tetapi seluruh pihak berkepentingan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2024 di Kuching hari ini.
Sarawak menjadi tuan rumah bagi persidangan tersebut.
Abang Johari menjelaskan, penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) turut mencipta cabaran besar dalam evolusi media era digital.
Katanya, kepentingan AI tidak dapat diremehkan kerana ia mampu mengubah industri media masa kini.
Menurut beliau, kuasa transformasi AI semakin jelas dengan pelbagai pihak cuba meniru kepintaran otak manusia sebagai daya penggerak dalam perubahan industri media era digital.
“Dalam era yang semakin digital, akses kepada berita menjadi lebih mudah berbanding sebelum ini.
“Namun begitu, walaupun berita boleh diakses dengan cepat melalui pelbagai platform media, cabaran utama yang dihadapi ialah keupayaan individu untuk memahami dan menilai berita dengan betul.”
Persidangan bertemakan ‘Evolusi Media dalam Era Digital’ ini dianjurkan oleh Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) dengan kerjasama AZAM Sarawak dan Business Events Sarawak.
Dalam pada itu, Abang Johari memberitahu, syarikat media tempatan perlu menyesuaikan diri dengan cepat untuk kekal relevan dan berdaya saing dalam persekitaran yang sentiasa berubah ini.
Ujarnya, Kerajaan Sarawak menyokong semua sumbangan daripada industri media supaya menerima maklumat yang boleh dipercayai serta input yang berkualiti ketika kita bergerak ke hadapan.
Hadir sama ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr Abdullah Zaidel.
SMEC 2024 berlangsung dari 26 hingga 27 Mei, berjaya menghimpunkan kira-kira 500 orang pengamal media dari Semenanjung Malaysia, Sarawak Sabah, Sarawak, Indonesia, Brunei, Singapura, Kemboja, Jepun, Kuwait, Brunei, Filipina, Timor Leste, Vietnam, China, Korea dan Qatar.
