DALAT: Skim Pembesaran Kampung Tengah Hilir Dalat Fasa Satu akan diperluas bagi memberi peluang kepada warga Dalat memiliki kediaman sendiri.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, sejumlah 30 lot Rumah Spektra Permata akan dibangun menjadikannya 60 lot rumah dibina untuk masyarakat Dalat.
Beliau mengumumkan berita gembira itu semasa merasmikan Kompleks Kebajikan Dalat, semalam.
Turut diumumkan kelulusan pembinaan jalan baharu yang akan menghubungkan Dalat ke Sibu.
Katanya, jalan itu kelak akan memendekkan perjalanan dari Dalat ke Sibu selama satu sahaja.
Menurutnya, peruntukan untuk pembinaan jalan tersebut telah diagihkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan kerja-kerja pembinaan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.
Sementara itu, Premier Sarawak berkata Kompleks Kebajikan Dalat yang siap dibina akan memainkan peranan dalam memberi khidmat sokongan kepada mereka yang memerlukan.
Katanya, kompleks yang diluluskan pembinaanya oleh mantan Ketua Menteri Tun Pehin Sri Adenan Satem 2014 siap dibina 5 September 2020.
Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Datuk Mohamad Razi Sitam, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Datuk Rosey Yunus, dan kenamaan lain.
