KUCHING: Visa umrah, visa lawatan sosial atau pelancong kini tidak dibenarkan untuk menunaikan haji di Mekah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dato’ Dr Naim Mokhtar berkata, ia susulan Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan fatwa pengharaman penggunaan bagi visa-visa berkenaan.
“Mana-mana pihak yang menggunakan visa berkaitan akan dikenakan hukuman berat kepada yang tidak mempunyai permit khas haji,” katanya selepas Majlis Meraikan Keberangkatan Jemaah Haji Sarawak di sini, hari ini.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Mengulas lanjut Dr Naim berkata, fatwa telah melarang visa umrah dan visa pelancong menunaikan haji di tanah suci umat Islam.
Mereka katanya, akan ditahan secara sementara waktu dan harus membayar denda sebanyak 10,000 Riyal atau bersamaan RM12,564.
“Mereka akan dihantar kembali ke negara masing-masing dan tidak dibenarkan untuk masuk ke Arab Saudi dalam tempoh 10 tahun.
“Justeru, rakyat Malaysia harus sentiasa berhati-hati dengan tipu daya mana-mana pihak yang menawarkan pakej tunai haji termasuk visa haji.
“Ini disebabkan pengeluaran visa permit haji hanya dikeluarkan oleh Tabung Haji yang menerima daripada Kerajaan Arab Saudi dan visa Haji Mujamalah yang dikeluarkan oleh kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur,” katanya.
Untuk rekod, kehadiran Tun Pehin Sri Dr Wan Junairi bagi menyantuni seramai 142 orang bakal haji daripada kumpulan jemaah KT70Q.
Difahamkan, jemaah haji KT70Q akan dijadual berlepas pada 10.25 pagi daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching ( LTAK) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (LTAK).
Seterusnya, jemaah bakal haji Sarawak akan digabungkan bersama kumpulan bakal haji daripada Pulau Pinang seterusnya menyambung penerbangan ke Jeddah yang dijadual berlepas 3.20 petang dan dijangka tiba pada jam 7.10 petang (waktu Arab Saudi) pada hari sama.