Eksport Sarawak kini berjumlah RM2.1 bilion

NIAH: Kedudukan ekonomi Sarawak kini berada di kedudukan kedua tertinggi di Malaysia.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkongsi pencapaian ini berdasarkan eksport Sarawak direkodkan Jabatan Perangkaan Malaysia (JPM).

“Eksport Sarawak kini berjumlah RM2.1 bilion di kedudukan kedua di belakang Selangor dengan RM3 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Melanggar Meja dan Ramah Tamah Aidilfitri Peringkat Daerah Subis, di Dewan Terbuka Waterfront Fasa 2, Sepupok Niah di sini, malam tadi.

Abang Johari berkata, dari sudut Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Sarawak kini di tempat ketiga melepasi Johor.

Selain itu, beliau berkata Sarawak akan memperuntukkan lebih RM100 juta bagi melaksanakan Pelan Induk Projek Perlindungan Tebing Sungai Niah yang bakal menjadi perubahan bagi kawasan Niah.

“Kerajaan juga akan menaik taraf capaian internet di kawasan ini dan beberapa projek kecil lain seperti penghubung tebingan Sungai Bekenu, jambatan dan skim perumahan,” katanya.

Hadir sama isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Ripin Lamat.