LUNDU: Ahli Majlis Daerah Lundu (MDL) perlu terus bekerjasama dan menjadi mata dan telinga kepada wakil rakyat kawasan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Pehin Sri Adenan berkata, mereka juga sentiasa berhubung dengan Ketua-Ketua Kaum Dan Masyarakat Daerah Lundu (KMKK) dan penduduk kampung.
“Ahli majlis bukan hanya sekadar mengisi kerusi yang sedia ada tapi haruslah yang benar-benar bekerja dan turun ke lapangan,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Angkat Sumpah Ahli – Ahli Majlis di Dewan Rafflesia di Majlis Daerah Lundu di sini.
Majlis itu yang juga dihadiri Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Lundu, Kaunselor Abdul Razak Abdul Wahab dan ADUN Opar, Billy Sujang menyaksikan Joll A’ee mengangkat sumpah sebagai Ahli MDL baharu mengantikan Abu Seman Karim yang tamat perkhidmatan.
