Wanita boleh dapatkan perkhidmatan kaunseling LPPKN

KUCHING: Seramai 285 wanita telah tampil mendapatkan perkhidmatan kaunseling dalam pelbagai isu kekeluargaan di Sarawak dari 2020 hingga 2023.

Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dato Sri Rohani Karim berkata, ini berdasarkan rekod LPPKN Negeri Sarawak.

“Saya ingin mengambil peluang ini untuk menggalak wanita yang memerlukan sesi kaunseling tampil mendapatkan bantuan atau rawatan menerusi perkhidmatan kaunseling yang ditawarkan LPPKN,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Sambutan Hari Ibu 2024 Negeri Sarawak anjuran LPPKN Negeri Sarawak di Pustaka Negeri Sarawak, di sini, hari ini.

Rohani berkata, mereka juga boleh mendapatkan perkhidmatan itu di mana-mana klinik atau hospital atau juga boleh menghubungi Talian Kasih di 15999.

Di samping itu, katanya LPPKN akan terus mempergiatkan kerjasama dengan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk menyampaikan perkhidmatan mereka itu kepada semua masyarakat tahun ini.