Sarawak tuntut semula kuasa terhakis

KUCHING: Kuasa yang dituntut Sarawak dari Kerajaan Pusat didasari oleh peruntukan tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) yang menjadi asas penubuhan Malaysia.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan beberapa kuasa yang diberi kepada Sarawak kebelakangan ini, termasuk penyerahan pelabuhan laut dalam dan pengedaran gas kepada Sarawak adalah kuasa-kuasa yang terhakis dan harus dikembalikan.

Katanya, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus mengadakan perundingan dengan Kerajaan Persekutuan untuk mengembalikan semula hak Sarawak yang telah terhakis.

Tegasnya lagi, transformasi ekonomi Sarawak di bawah pentadbiran GPS juga tidak bergantung kepada nasib tetapi merupakan hasil usaha gigih barisan pemimpin negeri yang berwawasan.

“Kerajaan Sarawak sentiasa bekerja keras berdasarkan perancangan yang teliti serta berpandangan jauh menerusi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 yang berteraskan tiga tonggak iaitu Kemakmuran Ekonomi, Keterangkuman Sosial Dan Kelestarian Alam Sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena sambutan Hari Gawai Dayak 2024 di sini.

Premier Sarawak menambah, kesediaan pelabur asing untuk mewujudkan hubungan kolaborasi bersama Sarawak menunjukkan keyakinan mereka terhadap komitmen dan hala tuju negeri ini.

Antara lain, beliau telah mengadakan lawatan ke Seoul, Korea Selatan untuk menemui pelabur yang melihat potensi tinggi Sarawak sebagai hab tenaga hijau di rantau Asia, baru-baru ini.

Selain itu jelasnya, tiga syarikat Korea kini sedang mengukuhkan komitmen bagi merealisasikan projek H2BISCUS di Bintulu yang bakal mengeluarkan gas hidrogen dan ammonia sebagai bahan api bersih.

“Dalam pertemuan itu, salah sebuah syarikat Korea berkenaan juga telah mengemukakan cadangan untuk membina sebuah fasiliti bersepadu yang berasaskan tenaga hijau.

“Kos projek tersebut termasuk kos-kos berkaitan dijangka mencecah 460 bilion USD sehingga 2050 seperti yang saya nyatakan sebelum ini,” katanya.