Sarawak bakal berkolaborasi dengan syarikat luar, kaji sumber tenaga diperbaharui

KUCHING: Sarawak akan memanfaatkan penggunaan teknologi bagi menambah nilai kepada sumber yang ada dalam usaha meningkatkan pendapatan negeri ini.

Ke arah itu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak akan berkolaborasi dengan syarikat-syarikat dari Amerika Syarikat yang berminat untuk mengkaji sumber yang mengeluarkan tenaga diperbaharui di negeri ini.

Katanya, syarikat tersebut datang ke Sarawak atas jemputan Duta Amerika Syarikat Ke Malaysia, Edgard D.Kagan.

“Ia merupakan kerjasama di antara pihak kerajaan yang sudah matang dengan kita.
“Melalui kolaborasi ini, jika kita mempunyai nilai berpatutan dengan sumber negeri ini, maka teknologi yang kita ada boleh menurunkan kadar kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas berucap di Forum Teknologi Bersih Amerika Syarikat – Malaysia 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.

Beliau turut mengajak petani di negeri ini untuk mengadaptasi kaedah baharu termasuk penggunaan ‘Internet of Things’ (IoT) bagi meningkatkan hasil tani dan seterusnya meningkatkan pendapatan.

Premier Sarawak menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak kini menumpukan fokus penuh terhadap tenaga bersih dan boleh diperbaharui.

Namun jelasnya, Sarawak perlu fokus dan mempunyai perancangan strategik terhadap pelaksanaan industri baharu yang kian berkembang itu.

Hadir sama, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr. Hazland Abang Hipni dan Pengerusi SEDC Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain.