KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang merangka solusi bersesuaian menggunakan pelbagai teknologi
di kawasan yang masih belum mendapat liputan internet.
Ia bagi penyediaan perkhidmatan internet baki sebanyak tiga peratus di kawasan tersebut.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, penyediaan infrastruktur komunikasi di lokasi-lokasi tersebut mencabar dari segi keadaan muka bumi yang berbukit bukau, taburan penduduk yang berselerak dengan kepadatan rendah, selain tiada infrastruktur asas seperti jalan berturap dan punca bekalan elektrik yang stabil.
“Sebanyak 523 lokasi telah disediakan dengan perkhidmatan akses tanpa wayar jalur lebar (BWA) di pedalaman Sarawak termasuk empat lokasi di Parlimen Tanjong Manis iaitu di Kampung Penuai, Kampung Telok Gelam, Rumah Johnnie Sare dan Rumah Baki, Sebayang,” katanya ketika menjawab daripada Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab pada sidang Parlimen di sini. Jawapan itu dijawab secara bertulis.
Katanya, pengoperasian Starlink di Malaysia dilihat dapat menyediakan perkhidmatan alternatif kepada kaedah penyelesaian untuk kawasan yang sukar.
Menurutnya, terdapat dua lokasi yang telah dipasang dengan peranti Starlink secara Proof of Concept (POC) di Sarawak iaitu di Kampung Puak yang terletak di Bau, Kuching, 6 September 2023 dan Rumah Menyimbang di Julau (14 September 2023).
“Pemasangan peranti satelit Starlink secara POC untuk menilai kebolehlaksanaan penyediaan perkhidmatan jalur lebar Starlink.
“Ini sebagai langkah interim bagi menyelesaikan isu-isu ketersambungan yang dihadapi di kawasan yang menghadapi masalah liputan termasuk sekolah, universiti dan kawasan terpencil,” ujarnya.