Persatuan Pandu Puteri Malaysia bergerak pantas seiring keperluan semasa

KUCHING: Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan rasa bangga dengan perkembangan ahli-ahli Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) yang bergerak seiring dengan keperluan semasa.

Titah baginda, era globalisasi dan revolusi industri 4.0 mendorong kepada inovasi serta kreativiti yang berlaku dengan pantas terutamanya dalam kalangan generasi muda.

“Alhamdulillah, kita telah berjaya membawa perubahan positif ke dunia ini dan inilah yang kita perlukan dalam membantu menggalakkan pembangunan masyarakat yang bersepadu,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian semasa berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Ke-59 PPPM 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.

Terdahulu, keberangkatan tiba Raja Zarith Sofiah di BCCK pada jam 10 pagi disambut isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, isteri Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail dan isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

Turut hadir ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah serta Timbalan Yang Dipertua PPPM Dato’ Tengku Shireen Al-Marhum Dato’ Paduka Tengku Suleiman.

Sementara itu, Dr. Wan Azizah selaku Presiden PPPM ketika berucap, merafak sembah atas kesudian Raja Zarith Sofiah mencemar duli untuk merasmikan mesyuarat agung berkenaan.

Antara anugerah yang disampaikan pada persidangan kali ini adalah Anugerah Srikandi, Pingat Bintang Kehormatan dan Asia Pacific Leadership Award For Service To Girl Guiding.

Baginda dijadual berangkat pulang ke Johor esok (Ahad).

GAMBAR:JABATAN PREMIER SARAWAK