Pesta Ngiling Bidai pamerkan kepelbagaian kaum

MUKAH: Pesta Ngiling Bidai Peringkat Mukah 2024 yang julung kali diadakan diharap dapat memupuk perpaduan dalam kalangan warga Mukah.

Timbalan Menteri Ekonomi yang juga Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib berkata, pesta terbabit berkonsepkan Perarakan Kebudayaan warga Mukah mempersembahkan kepelbagaian budaya dimiliki rakyat Sarawak.

Katanya, peserta yang ngambil bahagian terdiri dari pelbagai kaum termasuk Iban, Melanau, Cina, Bidayuh, Orang Ulu, Melayu dan semua etnik di bahagian itu.

“Semoga pesta ini berjaya mencapai matlamatnya dan dapat memupuk perpaduan serta mengeratkan hubungan kita semua,” katanya ketika merasmikan pesta itu, di sini, hari ini.

Hanifah berkata, mereka juga dapat melihat perkongsian kebudayaan di pesta itu seperti Upacara Miring Niti Daun, Perarakan Niti Daun yang diiringi oleh Gendang Rayah, Persembahan Ngajat Ngelalu Ke Pengabang dan Persembahan Seni Kuntau.

Beliau sehubungan itu memuji mereka kerana masih memelihara seni budaya dan adat resam dan berharap ini dapat diteruskan oleh generasi akan datang.

Selain itu, menurutnya sudah menjadi satu budaya unik dalam kalangan masyarakat Mukah untuk meraikan perayaan bersama termasuk Pesta Tahun Baru Cina, Pesta Tanglung, Christmas Parade, Pesta Kaul, Majlis Berbuka Puasa, Pengagihan Bubur Lambuk dan banyak lagi.

“Semangat kerjasama dan perpaduan ini perlulah kita teruskan dan semarakkan dalam setiap perayaan,”katanya.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi, Residen Bahagian Mukah, Kueh Lei Poh,Pemangku Pegawai Daerah Mukah, Peleadzman Ahip, Wakil Pengarah, Unit Untuk Agama-Agama Lain (UNIFOR), George Yeo,Temenggong Hendi Suhai, Pemanca Mohamad Jali Kawi dan Penghulu Mawar Awang.

GAMBAR: Hanifah Hajar Taib