Sarawak tubuh Pusat Kecemerlangan Digital

MIRI: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan sebanyak RM25 juta bagi menubuhkan Pusat Kecemerlangan Digital baharu di Universiti Curtin Malaysia, di sini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dengan ada pusat baharu itu nanti dapat menarik lebih ramai penuntut dari luar negara.

Menurutnya, buat masa ini universiti tersebut bukan sahaja menempatkan pelajar tempatan, malah terbuka kepada pelajar dari negara-negara Asia lain.

Beliau berkata demikian pada Majlis Malam Gala Ulang Tahun Ke-25 Universiti Curtin di Hotel Pullman Miri, malam tadi.

Abang Johari menambah, anak-anak kelahiran Sarawak amat bertuah kerana kerajaan negeri akan menyediakan pendidikan percuma pada 2026 tertakluk kepada kelayakan.

“Ia percuma selagi anda layak, selagi kita masih ada di sini,” ujar Abang Johari lagi.

Hadir sama Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap Pro-Canselor Universiti Curtin Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr. Annuar Rapaee.