MySRBN tingkat ketersambungan internet luar bandar

KUCHING: Perkhidmatan Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (MySRBN) akan meningkatkan ketersambungan internet kepada penduduk di luar bandar.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi memberitahu, perkhidmatan MySRBN dilengkapi dengan pakej prabayar rumah MySRBN yang dipramuat dengan 300 megabyte (MB) data percuma setiap bulan akan dilancarkan secara rasmi pada 7 Julai ini.

Jelasnya, sekiranya penggunaan lebih daripada 300MB, pelanggan boleh menikmati perkhidmatan MySRBN dengan tambahan RM5 seminggu dengan data 200GB.

Katanya, Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) juga telah menyediakan pakej prabayar yang boleh dibeli secara mingguan atau sebulan yang harganya adalah RM5 setiap minggu yang merupakan tambahan kepada yang percuma.

“Ini adalah lebih murah daripada apa yang telah disediakan oleh penyedia perkhidmatan lain di pasaran.

“SDEC juga akan memasang penghala dan antena bagi setiap pelanggan yang telah diluluskan oleh MySRBN di luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Hari Digital & Ketersambungan Sarawak di sini hari ini.

Julaihi menambah, perkhidmatan MySRBN mempunyai elemen subsidi kerana ia merupakan usaha Kerajaan Sarawak untuk membolehkan ketersambungan internet di luar bandar.

Jelasnya, Kerajaan Sarawak berhasrat untuk mencapai ketersambungan penuh di kawasan luar bandar pada masa akan datang untuk membawa penduduk setempat dalam menyertai ekonomi digital.

Pada majlis itu, beliau melancarkan aplikasi SDEC baharu yang mampu memantau penggunaan data MySRBN pelanggan.

Untuk rekod, perkhidmatan MySRBN menawarkan pakej sebanyak RM5 bagi 200GB seminggu dan sebanyak RM20 untuk data 1 terabyte (TB) sebulan.

GAMBAR:UKAS