ASSAR umum dividen tambahan 3.5 sen seunit

KUCHING: Amanah Saham Sarawak (ASSAR) mengumumkan dividen akhir atau tambahan sebanyak 3.5 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pengagihan kali ke-dua bagi tahun kewangan terbabit akan melibatkan pengagihan sebanyak RM16.39 juta kepada 57,542 pelabur pada 30 Jun 2024.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan pulangan dividen ASSAR bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 sebanyak 6.0 sen seunit, iaitu dividen interim 2.5 sen seunit ditambah dengan dividen akhir sebanyak 3.5 sen seunit,”katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Pengumuman Dividen kali ke-dua ASSAR di Hikmah Exchange Event Centre di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, ini membabitkan jumlah agihan keseluruhannya RM28.1 juta berbanding pendapatan bersih RM36.16 juta dan lebihan pendapatan sebanyak RM8.06 juta akan disimpan sebagai rizab untuk tahun kewangan seterusnya.

“Saya cukup berbangga kerana ASSAR telah berjaya memberikan hasil dividen yang kompetitif berikutan prestasi pasaran modal yang memuaskan bagi tahun kewangan 2024,” tambahnya.

Hadir sama ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak; Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Pengerusi Kumpulan Syarikat Permodalan ASSAR; Dato Sri Wahab Dolah serta Peguam Besar Negeri Sarawak yang Ahli Lembaga Pengarah ASSAR, Datu Saferi Ali.