KUCHING: Kerajaan Persekutuan dicadang agar mencontohi pendekatan proses desentralisasi yang dilaksana Sarawak bagi memperkasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, terdapat sembilan agensi pembangunan ditubuh di negeri ini untuk memperkasa pemimpin luar bandar.
Katanya, setiap agensi berkenaan diperuntuk sebanyak RM1.5 bilion bagi melaksanakan projek pembangunan dalam tempoh tiga tahun mengikut kemahuan diperingkat akar umbi sebelum menerima dana tambahan.
“Keputusan diuruskan oleh pemimpin tempatan melalui proses desentralisasi. Jika tidak, semuanya akan diuruskan secara pusat di Petra Jaya, di Wisma Bapa Malaysia.
“Oleh itu, saya cadangkan Putrajaya memberi kuasa kepada PBT untuk melaksanakan projek, bukan semua tetapi sebahagian projek tertentu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan penutupan Hari Inovasi dan Integriti Tanah dan Survei Sarawak (HIITS) 2024 bertemakan ‘Keutuhan Integriti Tunjang Kelestarian Inovasi’, di Kuching, malam tadi.
Beliau memberi contoh pembinaan sekolah atau klinik daif yang boleh dilaksanakan asalkan ada dana diberikan di bawah bidang kuasa Perlembagaan Malaysia.
Sementara itu, Abang Johari memuji langkah Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak dalam memperbaharui dan meningkatkan kecekapan operasi mereka dengan menggunakan inovasi Kecerdasan Buatan (AI) dalam proses penyukatan tanah.
Jelasnya, penggunaan AI, terutamanya teknologi AI generatif telah membawa transformasi besar dalam bidang penyukatan tanah sehingga membolehkan pemetaan dan analisis data tanah dilakukan dengan lebih cepat dan tepat, seterusnya memudahkan proses perancangan dan pembangunan tanah di Sarawak.
Beliau turut menyaksikan penganugerahan kepada beberapa projek dan individu yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam bidang inovasi dan integriti.
Antara anugerah yang diberikan termasuk Anugerah Inovasi Transformasi Penyampaian Perkhidmatan, Anugerah Inovasi Sosial, Anugerah Inovasi Kelestarian Alam Sekitar, Anugerah Inovasi Transformasi Digital, Anugerah Khas Kepimpinan Inovasi, Anugerah Montaj Terbaik dan Anugerah Persembahan Terbaik.
