Kolej Universiti i-CATS buka kampus baharu di Trombol, Telaga Air

KUCHING: Kolej Universiti i-CATS akan membuka kampus baharu di Trombol, berhampiran Telaga Air, Matang dalam usaha memperluaskan pendidikan tinggi kepada anak Sarawak.

Perkara itu diumumkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sambil menambah sebanyak RM300 juta akan diperuntukkan untuk pembinaan kampus baharu.

Katanya, pemilihan lokasi itu disifatkan strategik dalam usaha Kerajaan Sarawak membangunkan kawasan pesisir pantai.

“Kampus baharu ini akan menyediakan fasiliti dan teknologi terkini untuk anak tempatan menimba ilmu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Ekspo Pendidikan Sarawak 2024 di Dewan Tan Sri Aziz, Kolej Universiti I-Cats Kuching hari ini.

Katanya, institusi pengajian tinggi milik penuh Kerajaan Sarawak itu mendapat kelulusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menubuhkan fakulti aeroangkasa.

“Sekarang anak Sarawak boleh belajar mengenai aeroangkasa dan undang-undang spektrum sudah dirangka, isyarat bergerak melalui angkasa dan spektrum.

“Spektrum dimiliki oleh Sarawak dan kita mendorong anak Sarawak untuk belajar mengenai teknologi angkasa lepas,” tambahnya lagi.

Beliau turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) di antara Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA) dengan Yayasan Sarawak, Kolej Universiti i-CATS, Universiti Teknologi Swinburne, Universiti Curtin Malaysia dan Universiti Teknologi Sarawak (UTS).

Seramai 25 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 turut menerima hadiah daripada Yayasan Sarawak.

Ekspo Pendidikan Sarawak 2024 diadakan serentak di seluruh negeri hari ini bermula jam 8 pagi hingga 2 petang.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar.