KUCHING: Kenyataan pemimpin Pakatan Harapan (PH) Sarawak yang mengecam Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari disifatkan sebagai tindakan yang tidak wajar.
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, pemimpin tersebut seharusnya mendengar sepenuhnya kenyataan Abang Johari dalam rancangan podcast ‘Keluar Sekejap’ baru-baru ini sebelum mengambil perkara di luar konteks.
“Apa yang dimaksudkan oleh Premier ialah kerjasama antara GPS dan parti-parti yang menubuhkan Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan termasuk PH, tidak wujud di peringkat Sarawak.
“Justeru, saya menasihatkan mereka untuk mendengar sepenuhnya apa yang dikatakan Abang Johari dan bukannya hanya mendengar bahagian tertentu sahaja dan kemudian memutar belit fakta serta mengambil perkara di luar konteks,” tegasnya.
Sementara itu, mengulas kenyataan ADUN Pending Violet Yong yang menyifatkan Abang Johari sebagai ‘angkuh,’ Fazzrudin sebaliknya mengangggap wakil rakyat dari DAP Sarawak itu yang bersifat demikian.
“Sebaliknya, saya fikir adalah angkuh baginya untuk tidak mengendahkan impak positif yang telah dibuat oleh Premier kepada rakyat Sarawak dan keberkesanan dasar beliau.
“ADUN Pending itu juga angkuh kerana beliau memburukkan rakyat Sarawak yang menggunakan hak demokrasi mereka untuk menyokong GPS apabila beliau berkata pengundi DAP hanya melakukan perkara yang sama,” ujarnya.