MIRI: Penduduk luar bandar kawasan Bekenu diharap tidak ketinggalan dalam memberi fokus ekonomi baharu Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Sarawak kini sedang memacu kedepan dengan fokus kepada ekonomi baharu
“Sudah tentu, kita tidak mahu penduduk luar bandar Sarawak, termasuk di Bekenu ini ketinggalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Makan Tahun Daerah Subis 2024 di Kampung Bulau, Bekenu, Subis di sini, hari ini.
Awang Tengah berkata, mereka harus mempersiapkan diri agar dapat bersama-sama memainkan peranan untuk mencapai status negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Katanya, beliau percaya ramai penduduk di Bekenu ini terlibat dalam sektor pertanian dan Sarawak mempunyai matlamat menjadi pengeksport makanan menjelang 2030.
“Anak-anak dan generasi baharu perlu bijak mencari peluang dan menggunakan teknologi untuk meningkatkan pendapatan serta memasarkan produk secara lebih berkesan,” katanya.
Tengah berkata, teknologi adalah kunci kepada pertumbuhan dan kemajuan dalam sektor ini dan Kerajaan Sarawak akan terus menyediakan fasiliti pendidikan dan juga bercadang memberi pendidikan tinggi percuma menjelang 2026.