Fokus Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana

MIRI: Kerajaan Sarawak sentiasa memberi perhatian terhadap Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif seperti Program Showcase Usahawan Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, PMKS merupakan tunjang belakang landskap pembangunan ekonomi negeri yang telah mewujudkan peluang pekerjaan, menambah pendapatan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan negara.

Katanya, PMKS ini mewakili 1.17 juta (97.4 peratus) daripada keseluruhan 1.20 juta komuniti perniagaan di Malaysia yang mana 83,708 PMKS adalah dari Sarawak.

“Oleh itu, Kerajaan Sarawak sentiasa memberi perhatian kepada golongan PMKS tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Showcase Usahawan Sarawak (SUS) @ Miri 2024.

Jelasnya, Showcase Usahawan Sarawak merupakan platform untuk mengetengahkan pelbagai produk daripada 51 usahawan terbaik yang mewakili Majlis Pembangunan Usahawan Bahagian (MPUB) dan Agensi di Sarawak.

Melalui program tersebut, produk-produk tempatan yang diiktiraf dari aspek pensijilan halal daripada Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) diketengahkan kepada orang ramai.

Showcase Usahawan Sarawak menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti ‘business pitching’ dan ‘business matching’ melalui penyertaan syarikat seperti MyGalore, Borneo Outlet, MYDIN, AEON dan Alfamy dengan sasaran jualan sebanyak RM3 juta.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *