KUCHING: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) membuka permohonan pengambilan khas guru di Sarawak selama tiga minggu bermula esok (1 Ogos) hingga 23 Ogos ini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, permohonan pengambilan khas itu bagi menangani kekurangan guru di negeri ini.
“Sarawak dijangka mengalami masalah kekurangan 2,373 guru menjelang 31 Disember tahun ini,” katanya pada sidang media ‘Menangani Kekurangan Guru di Sarawak: Inisiatif Pengambilan Baharu dan Kemaskini’ di sini hari ini.
”Kita menjangkakan jumlah ini (2,373) akan berkurangan kepada 1,130 hasil daripada pengambilan SPP dan penempatan guru baharu KPM antara Julai dan November tahun ini.
Justeru, katanya bagi mengatasi isu kekurangan guru yang sedia ada, Kerajaan Sarawak bersama Kementerian Pendidikan dan SPP bersetuju mengambil guru tambahan melalui sesi pengambilan khas itu.
Roland berkata, pengambilan khas guru baharu itu adalah terbuka kepada semua graduan ijazah sarjana muda pendidikan dan graduan ijazah sarjana muda bukan pendidikan.
Calon yang berjaya akan diambil menerima kontrak kerja selama dua tahun dan perlu mengikuti kursus diploma pendidikan atas perbelanjaan sendiri di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) melalui Kursus Dalam Cuti (KDC), tegas beliau.
”Selepas menamatkan kursus diploma pendidikan, mereka akan ditawarkan jawatan tetap sebagai guru, tertakluk kepada saringan akhir oleh SPP.
”Sementara itu, bagi mengelak isu guru memohon pertukaran keluar dari sekolah yang ditempatkan selepas pelantikan dan penempatan, keutamaan akan diberi kepada calon dari kawasan yang mempunyai banyak kekosongan guru,” katanya.
Beliau memberitahu kementeriannya dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) akan mengadakan jelajah ke seluruh negeri untuk mempromosikan pengambilan khas itu.
Dalam pada itu, dedahnya setakat ini kesemua 30 daerah pendidikan di Sarawak kini mempunyai kekosongan guru dengan Daerah Serian, Daro, Kapit, Subis, Saratok dan Betong mempunyai kekosongan paling banyak dengan lebih 100 kekosongan setiap satu.
Menurut beliau, kekosongan terbesar mengikut mata pelajaran adalah dalam Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Moral, Prasekolah, Bahasa Melayu dan Pemulihan selain kekosongan dalam 22 pilihan mata pelajaran lain, termasuk di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
Calon yang berminat hendaklah mengemukakan permohonan secara dalam talian MySPP menerusi https://myspp.spp.gov.my/myspp/index.php.
Sesi temu duga akan dilaksanakan pada minggu kedua September manakala keputusan akan diumumkan pada Oktober atau November, dengan penempatan disasarkan pada November dan Disember.