LOTTE tingkat pelaburan di Sarawak – Awang Tengah

SEOUL: LOTTE Energy Materials di Seoul, Korea Selatan, merancang meningkatkan pelaburannya di Sarawak yang dianggarkan bernilai RM1.2 bilion.

Naib Presiden Kanannya, Park Ingoo berkata, syarikat terbabit turut merancang potensi tambahan pelaburan semula sebanyak RM2.5 bilion.

Park memberitahu demikian kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang mengetuai delegasi dari Sarawak mengadakan mesyuarat dengan syarikat terbabit di sini semalam.

LOTTE Energy Materials merupakan sebuah syarikat terkemuka penyedia bahan bateri termaju. Syarikat itu menubuhkan kilang luar negaranya pertama di Zon Perindustrian Bebas Samajaya, Sarawak untuk mengilang elekfoil.

Elekfoil banyak digunakan dalam kenderaan elektrik dan sistem penyimpanan tenaga. Sungguhpun berhadapan dengan tidak tentuan global, LOTTE Energy Materials merancang mengembangkan perniagaannya di Sarawak, menjadikan Sarawak sebagai hab utama pengeluar bahan bateri.

Pengembangan kemudahan itu dijangka mewujud lebih 200 peluang pekerjaan baharu yang akan memacukan pertumbuhan industri dan menyumbang kepada ekonomi tempatan.

Projek itu turut mencerminkan komitmen dan kesungguhannya menyokong pembangunan wlayah dan mewujud peluang ekonomi baharu.