Mangsa kebakaran Kampung Belawai terima sumbangan

TANJUNG MANIS: Prihatin dengan nasib mangsa kebakaran di Kampung Belawai, Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab menghulurkan bantuan awal, semalam.

Beliau yang ketika kejadian dalam perjalanan ke lapangan terbang Tanjung Manis untuk ke Kuching selepas selesai menghadiri beberapa program di kawasannya sejak beberapa hari lalu.

Susulan itu, Yusuf terpaksa menangguhkan perjalanan sebelum kembali bergegas ke Kampung Belawai melawat serta menghulurkan sumbangan kepada mangsa.

Sumbangan yang dihulurkan berupa wang tunai dan keperluan asas untuk meringankan beban mangsa yang terjejas.

“Kejadian ini mengejutkan dan saya berharap mangsa tabah dengan dugaan yang menimpa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua yang terlibat membantu memadamkan kebakaran daripada terus merebak sekali gus mengelak malapetaka lebih besar.

Kejadian kira -kira 9.30 pagi itu memusnahkan dua rumah mengakibatkan lima orang penghuninya hilang tempat tinggal.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan.

Selain Bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM), operasi pemadaman turut dibantu penduduk kampung.

“Saya juga ingin menasihatkan semua pihak agar sentiasa berwaspada bagi mengelak insiden seperi ini daripada berulang pada masa akan datang,” katanya.