Lawatan ke Sejong terokai peluang kerjasama

SEOUL, Korea Selatan: Rombongan dari Sarawak yang diketuai Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan semalam melawat Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga (MOTIE) di Sejong, Korea Selatan.

Lawatan itu bagi menerokai peluang projek usahasama atau inisiatif yang ada kaitan dengan kepentingan kedua-dua wilayah meningkatkan daya saing perusahaan pasaran-tengah untuk mengembangkan perdagangan di peringkat antarabangsa.

MOTIE adalah agensi utama kerajaan di Korea Selatan yang bertanggungjawab untuk merumus dan melaksanakan dasar berkaitan dengan perdagangan, industri dan tenaga. MOTIE menyediakan sokongan dalam pelbagai sektor untuk meningkatkan pembangunan teknologi dan daya saing perindustrian serta menggalakkan kerjasama antarabangsa dalam perdagangan dan tenaga.

Hadir sama Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussem Lamoh, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Ripin Lamat dan Penasihat Perusahaan Kecil dan Sederhana Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Dato Sri Mohd Naroden Majais.