Tak perlu minta kerusi percuma daripada GPS – Abdul Karim

KUCHING: Sokongan padu rakyat kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam pilihan raya negeri (PRN) lalu menunjukkan rakyat Sarawak tidak menerima pihak (parti) dari luar.

Naib Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, justeru mereka tidak sepatutnya meminta kerusi secara percuma daripada GPS.

“GPS masih mendapat sokongan padu rakyat dan mengetahui masalah warga tempatan dan mereka tidak perlu parti yang berasal dari bahagian lain negara ini,” katanya selepas melancarkan Padang Kriket dan Rugbi Sarawak di Kompleks Sukan Petra Jaya, di sini.

Abdul Karim mengulas kenyataan sesetengah pihak yang menyarankan supaya parti pembangkang meminta GPS melepaskan beberapa kerusi untuk ditandingi rakan dari Pakatan Harapan (PH) pada PRN akan datang.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak menegaskan, oleh kerana keputusan pilihan raya itu menunjukkan rakyat Sarawak tidak menerima pihak yang lain maka tiada sebab untuk mereka meminta daripada GPS.

“Bila kita bertanding, kita tidak menang, itu menunjukkan rakyat tidak bersetuju, tidak menyokong kita. Apa guna nak guna pintu belakang pula nak minta kerusi percuma,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak yang merasakan mereka diterima rakyat Sarawak untuk bertanding pada PRN akan datang termasuk di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya yang diwakilinya dipersilakan bertanding.

“Kalau saya masih diterima Parti PBB untuk bertanding pada pilihan raya akan datang, sekali lagi saya mempelawa pihak terbabit untuk bertanding,” katanya.

Abdul Karim berkata, beliau bukan mahu bersikap sombong dengan tawaran itu tetapi mahu melihat penerimaan pihak terbabit oleh rakyat Sarawak.

GPS dianggotai oleh Parti PBB, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Progresif Demokratik (PDP).