Sarawak tumpu bangunkan pos kawalan sempadan sedia ada

KUCHING: Kerajaan Sarawak sedia menyalurkan peruntukan untuk
membantu Kerajaan Pusat menaik taraf sempadan di wilayah ini.

Komitmen itu dinyatakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerana menyedari dana RM1 bilion disalurkan oleh kerajaan untuk membangunkan seluruh kawasan persempadanan antara Malaysia dan Indonesia tidak mencukupi.

Sehubungan itu, beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana menyediakan peruntukan itu termasuk membangunkan pos kawalan sempadan di Ba’ kelalan dan Tapak Megah yang baharu di Kapit.

Ini kerana katanya, kawasan persempadanan antara Malaysia dan Indonesia itu melibatkan dua negeri iaitu Sabah dan Sarawak.

“Dana yang diumumkan itu tidak cukup lebih-lebih lagi untuk meningkatkan seluruh kawasan sempadan.

“Di sebelah persempadanan Malaysia, kita masih boleh bersetuju untuk mengadakan kerjasama ‘dengan Kerajaan Persekutuan. Kita boleh mengeluarkan dana setengah-setengah untuk mempercepatkan pembangunan di sempadan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pelancaran Buku Biografi Gabenor Pertama Sarawak Tun Openg di Pusat Konvensyen Hikmah Exchange di Jalan Haji Taha, hari ini.

Ujar beliau, kerajaan Sarawak bersetuju untuk menampung sebahagian perbelanjaan tersebut manakala setengah lagi akan dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan.

Mengulas mengenai pengumuman dana RM1 bilion itu, Premier Sarawak memberi jaminan dana tersebut akan digunakan bagi pembangunan di sempadan Tebedu dan Entikong terlebih dahulu.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusuf mengumumkan dana tersebut untuk menaik taraf fasiliti di kawasan sempadan termasuk Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Tebedu, Ba’kalalan, Biawak dan Tapak Megah di Kapit.

Beliau memberitahu, Kerajaan Sarawak boleh membangunkan satu kawasan perindustrian di kawasan Tebedu melalui peruntukan yang dibiayai kerajaan negeri.