KUCHING: Generasi sekarang dan masa hadapan perlu dididik sejarah Sarawak yang kaya dan landskap politik yang unik.
Pengarang buku biografi Tun Openg: Gabenor Sarawak Pertama, Dato Dr Jeniri Amir berkata, ini perlu bagi menyemai di jiwa mereka rasa bangga dan penghargaan tentang kejayaan sejarah dan kekuatan politik masa kini Sarawak pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Katanya, Premier Sarawak berjaya membawa hasil dan pendapatan tertinggi serta belanjawan tertinggi di negara ini kepada Sarawak ditambah perjuangan menuntut hak termasuk hak minyak dan gas Sarawak.
“Generasi kini dan masa depan perlu sedar dan faham bahawa perjuangan ini adalah untuk masa depan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pelancaran buku biografi Tun Openg: Gabenor Sarawak Pertama di Hikmah Exchange, di sini.
Majlis pelancaran buku itu disempurnakan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang turut dihadiri isterinya Puan Sri Datuk Amar Jumaani Tuanku Bujang.
Jeniri berkata, Gabenor Sarawak pertama Tun Abang Openg Abang Sapiee bukan sahaja pemimpin bijaksana, tetapi juga pejuang kemerdekaan yang gigih dan berdedikasi.
Katanya, kisah hidup Tun Openg harus dijadikan sebagai sumber inspirasi untuk kita terus mencapai kejayaan dan kesejahteraan bersama.
Turut hadir, Timbalan-Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah, Datuk Amar Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, barisan Menteri dan Timbalan Menteri Kerajaan Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
