SAG kaji pinda Ordinan Taman Negara dan Rizab Alam Semula Jadi

KUCHING: Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak (SAG) sedang mengkaji meminda Ordinan Taman Negara dan Rizab Alam Semula Jadi dengan memperkasakan ordinan tersebut.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, SAG sedang giat memperhalusi pindaan berkaitan sebelum dibincangkan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Sarawak.

Katanya, apabila kajian pindaan telah dibuat dan disyorkan, ia akan dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Sarawak.

Tegas beliau, apa yang penting sekarang ialah untuk meneliti bidang-bidang utama dari segi protokol alam sekitar terutamanya taman negara selepas pindaan tersebut diserahkan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

“Alam sekitar kita perlu pelihara dan mesti ada peraturan tertentu cara kita menguruskan serta soal penalti.

“Jika seseorang melanggar peraturan, kita perlu menentukan pemeliharaan dan akan merangkumi keseluruhan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Kongres Herpetologi Sedunia Ke-10 (WCH10) 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.

Abang Johari menambah, perkara itu penting kerana ordinan yang sedia ada tidak begitu ketat. Sebab itu, banyak berlaku pencerobohan di taman negara.

Tegasnya, undang-undang yang lebih ketat seperti hukuman penjara dicadangkan dalam usaha memerangi pencerobohan di kawasan taman negara.

Hadir sama Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Pengarah Kongres WCH10, Prof. Dr. Indraneil Das, Setiausaha Agung (WCH10) Dr Judit Voros dan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Prof Dr. Ahmad Hata Rasit.