LAWAS: Sesi libat urus Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) dengan pemegang taruh di Miri semalam dharap memberi input positif kepada penduduk.
Ketua Pegawai Eksekutif RECODA, Datu Ismawi Ismuni berkata, sesi perkongsian input itu penting kerana ia membolehkan RECODA menyusun jajaran jalan yang dapat memberi impak positif.
Sesi libat urus bersama pemegang taruh itu adalah untuk pembangunan Projek Sempadan Sarawak iaitu projek dari Long Banga ke Bario dan seterusnya ke Ba’kelalan, katanya.
Input dan maklum balas berhubung cadangan jajaran jalan yang akan dibangunkan kelak, katanya, mengambil kira semua aspek.
Malah aspek keselamatan merupakan perkara penting yang perlu dititikberatkan di kawasan sempadan Sarawak dan Kalimantan, Indonesia, tambah beliau.
“Projek ini kelak bukan sahaja akan memberi manfaat dan keselesaan buat penduduk tempatan di samping mengurangkan masa perjalanan, bahkan juga menyediakan jalan akses yang lebih baik ke fasiliti kerajaan di luar bandar seperti Pos Kawalan Sempadan, Pusat Servis Luar Bandar, klinik kesihatan dan pejabat kerajaan,” tegas beliau.
Sementara itu, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong memberitahu, pihak bertanggungjawab perlu melihat aspek utama yang melibatkan jumlah kampung dan penduduk yang akan dilalui jajaran berkenaan.
Ini penting dalam memastikan jajaran itu akan memberi manfaat ekonomi kepada penduduk di kawasan terbabit selain memastikan kos perlaksanaan dapat dijimatkan, katanya.
“Kita telahpun merangka awal pelan jajaran ini bersama Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Pengerusi Agensi Pembangunan Utara (NRDA). Jajaran ini akan kita sambung terus ke jalan utama Bakelalan-Lawas.
“Satu lagi aspek yang ingin kita jelaskan di sini ialah jajaran ini juga akan melalui terus perkampungan tanpa perlu membuat jalan penghubung untuk menjimatkan kos dan masa perlaksanaan,” tambahnya.
Cadangan jajaran jalan dari Long Banga ke Bario adalah sepanjang 91.3 kilometer (km), manakala dari Bario ke Ba’Kelalan adalah sepanjang 41.5 km dengan jarak keseluruhan jumlah panjang jalan dari Long Banga ke Ba’kelalan adalah kira-kira sepanjang 133 km.
Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala,
