Sarawak contohi Australia urus buaya

DARWIN, Australia: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang mengetuai delegasi dari Sarawak memulakan lawatan penanda aras ke pusat aktiviti pengurusan buaya dan ekopelancongan di Wilayah Utara, Australia di sini.

Turut bersama delegasi Sarawak itu ialah Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, Ketua Hakim Negeri, Setiausaha Kewangan Negeri dan Setiausaha tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar.

Lawatan hari pertama delegasi Sarawak itu ialah ke kawasan penempatan buaya terkemuka di Sungai Adelaide disusuli ke Taman Negara Kakadu.

Lawatan itu memberi pengalaman pertama kepada mereka berkaitan pengembaraan pelancongan berasaskan buaya dan kesannya ke atas masyarakat tempatan.

Dalam rangka lawatan itu, delegasi Sarawak mempelajari cara Australia berjaya menguruskan buaya, mengurangkan konflik buaya dengan manusia dan penyertaan masyarakat setempat dalam pengurusan dan pemuliharaan buaya. Ini adalah produk pelancongan yang boleh dikomersialkan.

Dalam satu kenyataan, Awang Tengah berkata, perkara itu boleh dicontohi Sarawak dan menambah, kejayaan menyatukan ekopelancongan buaya di Wilayah Utara boleh dijadikan contoh.

“Kita berminat untuk menerokai peluang serupa di Sarawak bagi mengurus buaya secara mampan,” katanya.

Dengan kerjasama dan penyertaan masyarakat setempat, Sarawak berpotensi untuk membangunkan pelancongan berasaskan buaya yang boleh dijadikan punca pendapatan baharu sambil mengurus populasi buaya secara mampan.

Lawatan itu boleh dijadikan sebagai usaha meningkatkan strategi pemuliharaan Sarawak, menjamin pertumbuhan pelancongan secara mampan dan memulihara asset sumber semula jadi dan budaya.